NORAINI melipat baju yang dipakai dua beradik itu. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


“BIARLAH kita hidup susah sekarang ibu, insya-Allah bila berjaya nanti, Nazri ganti rumah baharu yang besar untuk keluarga kita.”

Itu antara kata-kata Muhamad Nazri Syawal, 14, yang lemas bersama adiknya, Muhamad Faris, 10, pada 31 Mei lalu, kepada ibunya Noraini Lasani, 43.

Dalam kejadian itu, Muhamad Nazri bersama Muhamad Faris lemas ketika mandi di kolam buatan di tapak pembinaan sebuah sekolah menengah di Kampung Petagas, di Putatan.

Mayat dua beradik itu ditemui ibu bapanya selepas selipar kedua-dua mangsa berada di tepi kolam berkenaan.

Noraini berkata, kata-kata itu dilontarkan Muhamad Nazri ketika mereka sekeluarga bersiap untuk membeli kelengkapan Aidilfitri tahun lalu.

“Masih teringat gelagat Nazri dan Faris ketika kami sekeluarga bersiap untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri.

“Ketika itu, Nazri dan Faris bersama abang mereka menaiki bas ke pasar raya di Putatan, manakala saya dan suami (Syawal Gamalid Abdullah, 45) menaiki motosikal.

“Ketika itu, Nazri beritahu apabila dia berjaya, dia mahu gantikan rumah yang lebih besar kepada kami dan bawa ibu berjalan-jalan dengan kereta besar,” katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Petagas.

Noraini berkata, seperti tahun sebelumnya, di pagi Aidilfitri biasanya beliau akan sibuk memasak kuih lamban (kuih tradisional) atas permintaan kedua-dua arwah anaknya itu.

Bagaimanapun, katanya, tahun ini mereka sekeluarga mahu menyambut Aidilfitri dengan ala kadar kerana masih terkejut dengan kehilangan dua anaknya itu.


SYAWAL dan Noraini meninjau lokasi kejadian yang meragut nyawa dua anaknya. FOTO Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Syawal berkata, mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri tahun ini di rumah saudara di Kampung Sailan, Putatan.

“Struktur rumah yang usang dan sebahagian lantai kayu sudah reput menyebabkan kami beraya di rumah saudara.

“Tetapi, kami juga bersyukur apabila Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, memberitahu permohonan Program Rumah Rakyat (PPR) sudah diluluskan dan dalam tempoh dua bulan, kami akan berpindah ke rumah baharu itu di Ketiau,” katanya.

Jenazah dua beradik dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 12:43 PM