GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

DUA lelaki warga Pakistan yang menyamar sebagai polis antarabangsa sebelum menyamun pelancong asing di sekitar ibu kota ini berjaya dicekup.

Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Ipoh, di Kuala Lumpur, 30 Mei lalu pada jam 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah berkata, kedua-dua suspek dipercayai sudah beberapa tahun aktif melakukan kegiatan itu.

“Modus operandi suspek adalah menyamar sebagai polis antarabangsa sebelum meminta dokumen pengenalan diri mangsa kononnya untuk pemeriksaan.

“Mereka kemudian menggertak mangsa yang terdiri daripada pelancong luar dan menyamun barangan berharga sebelum melarikan diri menggunakan kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Shaharudin berkata, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam empat kes jenayah samun di daerah itu.

“Kami juga berjaya merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan samun dalam tangkapan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 107 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun serta menyamar sebagai pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 4:35 PM