AHLI keluarga menunggu proses bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, malam ini. FOTO Omar Osman
Safuri Kamarudin


“KAKAK tidak sabar mahu berjumpa kami ketika tiba di Gerik, namun malang tidak berbau apabila mereka terbabit dalam kemalangan sewaktu hampir sampai rumah.”

Begitu kata Husnina Md Isa, 17, apabila kakaknya Noor Hafizah, 33, sempat menghubunginya bagi memaklumkan lokasi mereka berada.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, abang iparnya Noor Azizi Kamarudin, 34, bersama anak saudaranya Mohd Ammar, 4, maut apabila Toyota Vios dinaiki terbabit kemalangan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta itu cuba mengelak sebuah kereta lain di hadapan yang berhenti untuk memasuki simpang ke kanan di laluan terbabit.

Kereta mangsa menukar haluan ke kiri, namun berpusing sebelum terbabas ke kanan dan motosikal yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak.

Husnina berkata, dia rasa tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana meragut nyawa abang ipar dan anaknya dalam sekelip mata ketika mahu meraikan 1 Syawal.

“Raya tahun ini tidak bermakna bagi kami apabila kehilangan ahli keluarga tersayang, malah Mohd Ammar cucu sulung kesayangan keluarga terutama neneknya, Siti Hawa Ahmad, 56, yang beria-ia mahu membeli baju raya petang ini (tadi),” katanya.

Katanya, ibunya bercadang membeli pakaian raya untuk cucunya, namun tidak kesampaian.

“Kami reda dengan apa yang berlaku dan semoga mereka ditempatkan bersama orang yang soleh.

“Persiapan untuk menyambut hari raya disambut dengan tahlil untuk mendoakan arwah ditempatkan bersama orang beriman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah kereta di hadapannya yang berhenti untuk memasuki simpang kanan.

Menurutnya, mangsa mangsa mengelak ke kiri namun berpusing sebelum terbabas ke kanan.

Katanya, motosikal yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta mangsa.

“Pemandu kereta dan penumpang hadapan meninggal dunia, malah penunggang motosikal Fakhrul Razi Khalit, 17, dan pemboncengnya Muhammad Izahar Rosli, 17, dari FELDA Bersia, Gerik turut meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kematian.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Patutlah kami tunggu tak sampai, rupanya...'

Tragedi pilu menjelang 1 Syawal

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 9:01 PM