SEBUAH rumah di tingkat 11 di perumahan Flat Sri Selangor musnah terbakar.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


DUA unit rumah di Flet Sri Selangor, Jalan San Peng, Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran pada 11.40 pagi hari ini.

Kebakaran bermula di sebuah unit di tingkat 11, yang kemudiannya merebak ke sebuah unit lain di tingkat 12.

Rumah di tingkat 11 itu musnah sepenuhnya, manakala rumah di tingkat 12 musnah 80 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dan BBP Pudu membabitkan 18 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika tiba api marak dan merebak ke sebuah rumah flet yang terletak di tingkat 12.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.24 tengah hari, namun rumah pertama yang terbakar, dipercayai tempat kebakaran bermula musnah 100 peratus dan tidak dapat diselamatkan.

“Rumah di tingkat 12 terbakar 80 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa berlaku berikutan tiada penghuni di kedua-dua rumah itu ketika kejadian.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian terbabit.

Sementara itu, seorang penghuni dikenali sebagai Ida, yang berjiran dengan rumah terbakar di tingkat 11 berkata, ketika kejadian dia sedang mandi sebelum asap tebal memenuhi ruang bilik mandi.

“Saya terus berhenti mandi dan keluar bilik air sebelum mendapati sebahagian dalam rumah juga penuh dengan asap hitam.

“Saya terus mencapai anak perempuan dan lari keluar rumah kerana takut,” katanya yang bersyukur api tidak merebak ke rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 10:05 PM