Syalikha Sazili


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, sempena menyambut ketibaan 1 Syawal.

Beliau yang mengenakan persalinan lengkap baju Melayu berwarna ungu, tiba di masjid pada kira-kira jam 8.20 pagi dan terus menyertai jemaah di dalam dewan solat utama.

Beliau turut diiringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sementara itu, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri i Syaikh Ismail Muhammad, turut berkesempatan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Kasih Sayang Pelengkap Kesejahteraan’.

Beliau turut menggariskan beberapa perkara antaranya Aidilfitri adalah titik tolak kepada perubahan untuk seluruh umat Islam memperbaiki hubungan sesama insan.

“Kepelbagaian bangsa dan keturunan tidak menghalang masyarakat untuk menjalinkan silaturahim ke arah kesejahteraan dan keharmonian hidup.

“Justeru, umat Islam bertanggungjawab mempromosi agama Islam sebagai agama kesejahteraan, perdamaian, toleransi dan penuh kasih sayang,” katanya.

Ends

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 9:20 AM
Tun Mahathir Mohamad ketika hadir menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad di Masjid Negara .FOTO Lukman Hakim Zubir