Oleh Muhamaad Razis Ismail


YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, hari ini.

Baginda yang memakai jubah putih, tiba di masjid berkenaan pada 8.40 pagi.

Turut berangkat bersama baginda ialah Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan kerabat diraja Kelantan.

Baginda dan jemaah kemudian bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh imam besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Muhammad Hana Pizi Abdullah.

Baginda kemudian mendengar khutbah dibacakan Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Mohamad, bertajuk ‘Berhari Raya Mengikut Kacamata Islam’.

Selesai solat, baginda bersama adindanya mengambil peluang beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat ke majlis penghadapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Tetamu yang hadir turut dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah istimewa masyarakat Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 5:26 PM
SULTAN Muhammad V bersama Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra bersalaman dengan rakyat selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi