ANGGOTA polis melakukan siasatan membabitkan kematian anggota tentera dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


ANGGOTA tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan Perodua Myvi dalam kemalangan berhampiran lampu isyarat Cheng/Krubong di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), hari ini.

Dalam kejadian pada 11 pagi itu, mangsa Muhammad Ihsan Verboy Mohigan, 36, maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, mangsa yang berpangkat sarjan bertugas di 21 Skuadron Perubatan Gerup Gerak Khas Kem Iskandar, Mersing, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda FS150 dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Bandar Melaka.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa bergesel dengan Perodua Myvi yang datang dari arah sama.

“Akibat itu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu motosikalnya terbabas ke bahu jalan,” katanya.

Katanya, mangsa yang parah di kepala dan kaki disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

“Polis meminta saksi awam yang melihat kejadian untuk tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Jun 2018 @ 5:48 PM