TIGA lelaki yang mandi manda di kawasan Teluk Tongkang berhampiran Teluk Chempedak, Kuantan, nyaris hampir lemas pada petang Sabtu sebelum diselamatkan oleh pengunjung lain yang mandi berhampiran dalam kejadian 6.50 petang. FOTO Ihsan pembaca
TIGA lelaki yang mandi manda di kawasan Teluk Tongkang berhampiran Teluk Chempedak, Kuantan, nyaris hampir lemas pada petang Sabtu sebelum diselamatkan oleh pengunjung lain yang mandi berhampiran dalam kejadian 6.50 petang. FOTO Ihsan pembaca
T.N.Alagesh


TINDAKAN tiga lelaki yang enggan mematuhi tanda amaran bendera merah di kawasan rekreasi Teluk Cempedak, mengundang padah apabila mereka nyaris lemas, semalam.

Dalam kejadian 6.50 petang itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an diselamatkan oleh pelancong asing yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata, apabila pihaknya tiba di tempat kejadian, ketiga-tiga lelaki sudah dibawa ke tepi pantai dalam keadaan lemah, namun keadaan mereka stabil.

"Kesemua mangsa yang datang dari Jerantut itu mandi di Teluk Tongkang di kawasan pantai berkenaan sebelum tiba-tiba kelihatan terkapai-kapai dipercayai ditarik ombak.

"Mujur ketika kejadian, terdapat sekumpulan pelancong asing berada di kawasan berkenaan dan mendengar jeritan mereka sebelum bertindak menyelamatkan mereka," katanya.

Sementara itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, bendera merah dikibarkan bagi memberi amaran kepada pengunjung supaya tidak mandi di kawasan berkenaan berikutan keadaan ombak yang tinggi.

Malah, pengawal pantai yang bertugas juga turut menasihati pengunjung supaya tidak berbuat demikian, namun masih ada segelintir yang tidak mengendahkannya.

"Meskipun keadaan ombak tinggi, namun masih ada pengunjung yang sanggup menggadai nyawa untuk mandi di kawasan berkenaan, mereka berdepan risiko 'ditarik' ombak.

"Kami harap kejadian yang berlaku semalam memberi pengajaran kepada pengunjung lain supaya peka dengan kibaran bendera merah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 3:21 PM