Mohamed Farid Noh


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan dirombak dan disusun semula berikutan keadaan dua agensi penting itu yang disifatkan sebagai ‘berserabut’.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dua agensi berkenaan turut mempunyai jumlah aduan paling tinggi di bawah kementeriannya sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Katanya, rombakan itu penting bagi memastikan dua agensi berkenaan dan beberapa agensi lain melaksanakan dasar serta undang-undang negara dengan telus dan tanpa kompromi.

“Keputusan rombakan mana-mana jawatan pegawai tinggi agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan dimuktamadkan selepas saya mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam waktu terdekat ini.

“Langkah penyusunan semula pegawai tertinggi di PDRM mungkin membabitkan beberapa agensi lain di bawah KDN dan sudah tentu membabitkan kepemimpinan sedia ada.

“KDN mendapat banyak aduan berhubung isu pendatang asing tanpa izin (PATI) dan apabila saya meneliti semula masalah berkenaan, kita temui struktur ‘messy’ (berserabut) membabitkan peranan PDRM dan Jabatan Imigresen.

“Pelbagai pihak terbabit termasuk sindiket yang bawa PATI melalui saluran tak betul. Ada penipuan, ada skandal rasuah, semua ini menyebabkan isu pengambilan PATI tidak dapat diselesaikan sejak zaman berzaman.

“Disebabkan ia berserabut, kita harus membersihkannya dan akan mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun yang juga Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ketua Armada PPBM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 4:16 PM
MENTERI Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman (dua dari kiri) ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilifitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, Muar. FOTO Essa Abu Yamin