GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Farhani Che Ad


LELAKI maut selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan asrama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, ketika menangkap burung merpati, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa, Md Azi Mohd Yusof, 34, itu bersama tiga lagi rakan sekerjanya cuba menangkap burung merpati.

“Semasa mangsa bertindak menghalau burung merpati untuk ditangkap oleh rakan yang lain, tiba-tiba mangsa terpijak siling bumbung dan terjatuh ke aras bawah.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun pihak hospital mengesahkan dia meninggal dunia pada 10.55 pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, pihak hospital sedang menjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:36 PM