ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan cincin yang tersangkut pada jari mangsa. FOTO ihsan Bomba
Azlan Hafeedz


KEGEMBIRAAN kanak-kanak memakai cincin yang baru dibeli di kedai dengan harga RM3 membawa padah apabila barang perhiasan itu melekat di jari manis kanannya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, Muhammad Shariza Al-Akiq Mohammad Azri, 6, dari Kampung Panggong, Bukit Abal, dekat Pasir Puteh terpaksa menahan kesakitan hampir sejam sebelum dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh untuk mengeluarkan cincin besi terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, dia dimaklumkan keluarga mangsa bahawa kanak-kanak itu dikatakan membeli cincin itu di kedai menggunakan duit rayanya sebelum memakainya.

“Menyedari cincin itu gagal dikeluarkan daripada jarinya, mangsa panik sebelum memaklumkannya kepada keluarga.

“Keluarganya berusaha menggunakan pelbagai cara termasuk minyak, namun menemui kegagalan sebelum membawa mangsa yang menangis menahan kesakitan ke balai bomba untuk membantu mengeluarkannya,” katanya.

Menurutnya, anggota bertugas memulakan operasi memotong cincin yang terlekat di jari mangsa menggunakan alat pemotong cincin pada 9.52 pagi.

“Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memotong cincin itu berikutan mangsa asyik menangis.

“Walaupun berjaya dikeluarkan, jari manis kanan kanak-kanak itu membengkak sedikit kerana cincin berkenaan melekat hampir sejam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 6:11 PM