NUR Farrah Diba menunjukkan jeli yang dihasilkan sebagai satu daripada produk perniagaan. FOTO Bernama
BERNAMA

MENYEDARI kini ramai individu terutamanya golongan muda menceburi bidang perniagaan, usahawan muda wanita ini sentiasa mencari kelainan dalam setiap produk yang dijual bagi memastikan ia menjadi pilihan pelanggan.

Memilih jeli dalam bentuk tiga dimensi (3D) sebagai satu daripada produk perniagaan, Nur Farrah Diba Azhar, 28, membuat kelainan dengan menggunakan 100 peratus bahan semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk menghasilkan warna pada jeli berkenaan.

Beliau berkata berbeza dengan jeli 3D yang dijual di pasaran, kebanyakannya menggunakan pewarna bagi menghasilkan corak bermotif bunga pada jeli itu.

"Saya sendiri pergi belajar untuk buat jeli 3D ini. Apa yang saya rasa menarik untuk meneruskan jual jeli 3D ini sebab ia guna 100 peratus buah-buahan, tanpa bahan pengawet dan pewarna. Selain tahan lama, jeli yang menggunakan bahan semula jadi ini dibuat tanpa menggunakan gula kerana kemanisan itu diperoleh daripada buah-buahan tadi.

"Kebanyakan di pasaran jarang orang buat jeli guna buah-buahan semula jadi, kebanyakannya guna pewarna. Bila guna pewarna warna akan pecah, tidak akan nampak menonjol. Itu beza guna buah-buahan semula jadi dengan pewarna," katanya.

Mengakui tidak mempunyai kemahiran dalam pembuatan jeli 3D itu, Nur Farrah Diba yang berkelulusan Diploma Hotel dan Pelancongan daripada Kolej Antarabangsa Teknologi dan Profesional Perlis mempelajari cara pembuatan jeli itu daripada rakannya selain mengikuti kelas khas.

Katanya beliau mengambil masa selama seminggu untuk menguasai pembuatan jeli 3D itu termasuk mengetahui cara campuran jeli dan ukiran pada jeli berkenaan untuk menghasilkan tiga dimensi itu.

"Saya tahu mengenai jeli 3D ini daripada rakan yang berbangsa Cina. Mereka yang mencadangkan saya untuk guna buah-buahan dan bahan semula jadi bagi menggantikan pewarna. Kelebihan saya adalah mampu bertutur dalam bahasa Mandarin dengan baik dan kelebihan itu saya guna untuk mencari ilmu daripada mereka yang pakar," katanya.

Anak kacukan Melayu dan Cina itu berkata, kelebihannya menguasai bahasa itu turut membantunya untuk mengikuti kelas pembuatan jeli 3D itu di Taiwan dan Vietnam.

Selepas berjaya menguasai pembuatan jelly 3D itu, Nur Farrah Diba mengembangkan ilmu yang diperolehnya dengan membuka kelas kepada orang awam terutamanya suri rumah yang berminat untuk mempelajarinya.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian Pulau Pinang sering memanggilnya untuk mengajar selain turut membuka kelas kepada individu dengan bayaran RM350 selama lapan jam.

"Konsep saya mengajar belajar sampai pandai. Selagi anak murid saya tak pandai selagi itu saya akan bantu mereka. Saya mahu mereka menguasai sepenuhnya dan selepas itu terpulang kepada mereka sama ada nak buat bisnes atau untuk buat sendiri di rumah," katanya.

Nur Farrah Diba berkata, anggaran tempahan setiap bulan yang diterima adalah sebanyak 40 biji dengan harga antara RM5 hingga RM75 mengikut saiz.

Katanya beliau mempromosikan produknya itu di laman sosial Facebook dan WhatsApp dan kebanyakan tempahan yang diterima adalah untuk majlis tertentu seperti perkahwinan, pertunangan, sambutan hari jadi dan sebagainya.

Dibantu lima pekerja, beliau yang mengusahakan NFDAE Enterprise di Taman Janggus Jaya, Permatang Pauh di sini sejak dua tahun lepas merancang untuk mempelbagaikan corak dan ukiran jeli 3D itu dengan menggunakan motif kartun kanak-kanak yang dijangka mula dijual selepas Aidilfitri ini.

"Setakat ini tidak ada lagi pengusaha jeli 3D yang buat corak kartun kanak-kanak. Kami akan keluarkan corak terbaru ini selepas raya. Caranya sama cuma kami gunakan corak kartun seperti Mickey Mouse, Winnie the Pooh dan sebagainya. Ini untuk tarik minat kanak-kanak dan ia kelihatan lebih comel. Ini juga antara kelainan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 1:19 AM