ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling membersihkan pokok yang tumbang di sebuah rumah pada cuti Aidilfitri di daerah itu baru-baru ini. Foto NSTP/ IHSAN APM
Safuri Kamarudin


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima 40 kes kecemasan sejak hari pertama Aidilfitri hingga hari ini.

Pegawai APM Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, APM Baling banyak menerima panggilan kes kecemasan dan trauma seperti kemalangan jalan raya, menangkap ular, memusnah sarang serangga, sakit dan pokok tumbang.

"Anggota berkorban cuti menyambut hari raya demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan awam.

"Demi tanggungjawab yang diamanahkan, semua kes yang berlaku dapat ditangani dengan berkesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Faizol berkata, APM akan beroperasi sepanjang 24 jam bagi membantu pelbagai agensi lain dalam keselamatan dan kecemasan yang berlaku.

"Setakat ini bantuan yang diberikan terkawal dan berjalan lancar dengan kecekapan anggota untuk membantu setiap kes," katanya.

Mohd Faizol berkata, penduduk di daerah ini boleh melapor segera sekiranya berlaku kecemasan atau ditimpa bencana dan hubungi talian kecemasan 24 jam 04-4701626.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 11:24 AM