CUKAI barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar sejak 1 Jun lalu tidak memberi kesan yang besar dalam usaha menangani isu harga barangan yang tinggi di Sabah. Foto ARKIB NSTP
Mohd Izham Unnip Abdullah


WALAUPUN rakyat di Semenanjung Malaysia menikmati harga barangan lebih rendah berikutan penetapan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar sejak 1 Jun lalu, ia tidak memberi kesan yang besar dalam usaha menangani isu harga barangan yang tinggi di Sabah.

Aktivis pengguna dan hak asasi manusia, Datuk Patrick Sindu berkata, keadaan itu disebabkan kebanyakan harga barangan pengguna yang memang sedia tinggi di negeri ini, ditambah kos pengangkutan dan pelbagai kos lain yang diambil kira peniaga.

Katanya, pengguna di negeri ini bukan saja mahu GST berkadar sifar tetapi juga harga yang seimbang dengan negeri lain di Semenanjung termasuk di semua kawasan terutama membabitkan barangan keperluan pengguna.

"Memanglah GST sifar memberi kelebihan kepada pengguna kerana harga barangan sudah tidak dikenakan cukai tetapi kita perlu sedar kebanyakan harga barangan di Sabah jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung, jadi kalau tiada GST pun, harga masih dikira lebih mahal berbanding di negeri lain.

"Itu belum dikira nasib pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman yang kita tahu beban ditanggung mereka lebih tinggi kerana harga barangan keperluan pengguna yang lebih mahal," katanya ketika diminta mengulas penghapusan kadar GST enam peratus sejak 1 Jun lalu.

Patrick yang juga bekas Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (CASH) berkata, harga barangan yang lebih mahal di negeri ini punca utama kos sara hidup tinggi terpaksa ditanggung rakyat Sabah ketika ini.

Katanya, harga barangan turut mempengaruhi harga pelbagai sektor seperti perumahan dan restoran yang mana Sabah diketahui antara negeri yang paling mahal dari segi harga hartanah dan makanan serta minuman yang dihidangkan di restoran.

"Adakah GST akan menurunkan harga makanan dan minuman di kedai kopi. Saya percaya peniaga sukar menurunkan harga walaupun kos barang mentah yang ada GST sebelum ini sudah diturunkan.

"Realitinya, harga barangan di Sabah tetap tinggi walaupun GST sudah disifarkan. Perkara ini yang kita harus ambil perhatian dalam usaha menangani kos sara hidup tinggi di negeri ini," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan baharu sekarang perlu mencari pendekatan yang benar-benar berkesan dalam menangani kos sara hidup tinggi di Sabah sejajar manifesto mereka menjaga kebajikan rakyat ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Apabila kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri dan negara, maka rakyat pastinya mahu masalah kos sara hidup tinggi yang dihadapi mereka dapat diatasi kerana memang itulah harapan rakyat apabila memilih kerajaan baharu pada PRU-14.

"Rakyat juga mahu kebajikan mereka lebih terjamin di bawah kerajaan yang baharu selain dapat menikmati ekonomi dan pendapatan yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 12:39 PM