Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


“MASIH terngiang-ngiang suara arwah di telinga saya menyebut nama abah,” demikian kata Mohd Halimi Abd Hamid, 42, jiran kepada Muhammad Rizal Jusoh, 42, bapa kepada Muhammad Nur Rashdan, berusia 19 bulan, yang meninggal dunia akibat dikelar ibu kandungnya di FELDA Jengka 13, Maran, malam tadi.

Mohd Halimi berkata, dia menganggap Muhammad Nur Rashdan seperti anak kandung sendiri kerana arwah memanggilnya ‘abah’ setiap kali bertemu.

Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu pada 9 malam ketika sedang beraya di rumah saudaranya di Bera.

“Sukar nak terima hakikat (kejadian itu), namun ini semua adalah ketentuan Allah SWT... Allah lebih menyayanginya dan kita perlu reda dengan takdir yang sudah ditentukan ini,” katanya.

Sementara itu datuk mangsa, Jusoh Ismail, 63, ketika ditemui mengakui amat terkejut dengan kejadian terbabit.

“Saya menerima panggilan telefon daripada keluarga pada 8.50 malam ketika dalam perjalanan pulang selepas beraya di FELDA Purun, dekat Bera.

“Memang sayu sangat rasa hati... dia (Muhammad Nur Rashdan) pun tengah ‘belajar’ bercakap... pasti kami semua akan terasa dengan kehilangannya.

“Apa pun, kita tetap kena reda dengan takdir... Allah sudah pun menetapkan dia meninggal dunia dan kita perlu menerima kenyataan ini walaupun pahit,” katanya.

Berita berkaitan:

Budak maut dikelar ibu

Suspek dipercayai mengalami halusinasi

JKM sedia beri kaunseling

Ibu direman tujuh hari

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 4:19 PM