CHE Puteh terpaksa dipapah selepas mengetahui anaknya maut dalam kemalangan. FOTO Omar Osman
Omar Osman
cnews@nstp.com.my


“Saya dah pesan jangan pergi jauh, sampai Kampung Pantai Cicar sahaja, lebih mak tak izin, tapi tidak sangka arwah pergi juga sampai ke Pantai Merdeka,” kata Che Puteh Sahak, 56, ibu kepada Muzani Abdul Halim, 15, yang dalam kemalangan di berhampiran Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan dengan kereta di Kilometer (km) 7, Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil.

Ketika kejadian Muzani dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jerung, Jalan Kuala Ketil selepas menghadiri perjumpaan Hari Raya Kelab Motor Utara di Pantai Merdeka yang dihadiri ratusan remaja motosikal dari seluruh Kedah.

Menurut Che Puteh, arwah anaknya memberitahu ingin bertemu kawan di Kampung Pantai Cicar pada 9 pagi dengan menunggang motosikal milik arwah bapanya.

"Saya beritahunya supaya hanya pergi Kampung Pantai Cicar sahaja dan jangan pergi jauh dari situ malah mulanya saya ingat memang dia pergi jumpa kawan dan tidak kisahlah.

"Namun pada 5.30 petang, abangnya Mohd Khairul Aswad beritahu yang arwah terbabit dengan kemalangan tetapi masih tidak tahu dia meninggal dunia sebelum mendapat berita anak sudah tiada tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerung, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, malam tadi.

Che Puteh berkata, dia berasa sedih apabila mengetahui anaknya meninggal dunia selepas pergi ke Pantai Merdeka bersama rakan namun reda dengan kehendak takdir.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam, berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal cuba memotong kereta.

Katanya, ketika kejadian motosikal yang ditunggang mangsa menghala ke arah Kuala Ketil bergesel dengan kereta terbabit.

"Akibat kejadian itu mangsa tercampak ke atas jalan dan kepalanya terhentak pada tebing jalan menyebabkan mengalami kecederaan di kepala serta meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 4:51 PM