MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengenakan bayaran RM1 hingga RM2 kepada orang ramai yang berkunjung ke Mini Zoo Taman Teruntum bermula 1 Julai ini. Foto STR/MOHD RAFI MAMAT
MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengenakan bayaran RM1 hingga RM2 kepada orang ramai yang berkunjung ke Mini Zoo Taman Teruntum bermula 1 Julai ini. Foto STR/MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


MAJLIS Perbandaran Kuantan (MPK) akan mengenakan bayaran RM1 hingga RM2 kepada pengunjung yang berkunjung ke Mini Zoo Taman Teruntum, Kuantan, bermula bulan depan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, kadar bayaran ditetapkan ialah RM1 bagi kanak-kanak dan RM2 untuk dewasa, manakala bagi bayi serta orang kelainan upaya (OKU) pula percuma.

Katanya, bayaran itu adalah bagi membolehkan pihaknya menaik taraf serta menyediakan lebih banyak kemudahan di zoo mini berkenaan.

"Kita kini dalam proses menambah baik kemudahan di taman terbabit dalam memastikan setiap pengunjung yang datang berada dalam keadaan selesa dan berpuas hati.

"Pihak pengurusan juga berhasrat untuk menambah tempat duduk di taman terbabit, mewujudkan wakaf dan menaik taraf tandas awam serta gerai jualan sedia ada," katanya di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menambah bilangan haiwan dan spesies burung bagi menarik lebih ramai pengunjung mengunjungi zoo mini itu.

"Pihak pengurusan zoo mini Taman Teruntum perlu menyediakan perbelanjaan kira-kira RM20,000 sebulan bagi membekalkan makanan selain perubatan haiwan di taman terbabit.

"Saya percaya kadar bayaran yang dikenakan itu tidak terlalu membebankan pengunjung dan paling penting ia adalah berbaloi untuk mereka berehat di sini bersama keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 2:56 PM
Digital NSTP Subscribe