KEADAAN bas ekspres yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik, hari ini. Gambar kanan, sebahagian penumpang bas menunggu bantuan selepas kemalangan. FOTO ihsan polis.
Muhammad Apendy Issahak


BAS ekspres yang terbabas dan terbalik selepas merempuh bukit di Kilometer 24 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Tasik Banding, Gerik, hari ini dinaiki 30 penumpang serta dua pemandu yang semuanya cedera dalam kemalangan terbabit.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, berdasarkan siasatan awal kemalangan berlaku pada 3 petang apabila bas itu dipercayai terbabas sendiri.

“€œKemalangan itu membabitkan 32 mangsa termasuk dua pemandu dan seorang bayi.

“Siasatan awal mendapati bas dari arah Jeli (dari Terengganu) ke Gerik (menuju Kuala Perlis) dan apabila sampai di lokasi kemalangan iaitu kawasan menuruni bukit dan selekoh, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan masuk ke dalam longkang sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu bas parah di bahagian kepala sementara pemandu kedua dan 28 penumpang cedera ringan manakala dua lagi penumpang parah.

“Ketika ketika pegawai penyiasat sampai, ramai mangsa sudah dihantar ke Hospital Gerik.

“€œSiasatan di lokasi kemalangan mendapati tempat kejadian adalah jalan menuruni bukit dari arah Jeli dan berselekoh dengan garisan berkembar pembahagi jalan,” katanya.

Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 3.48 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 7:09 PM