Dr Mahathir semasa diwawancara Reuters di pejabatnya di Putrajaya. FOTO Reuters
Siti Nur Mas Erah Amran

DATUK Seri Najib Razak bakal didakwa atas pertuduhan penyelewengan harta dan dana kerajaan yang dikendalikan syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kes yang sedang disiasat pihak berkuasa hampir lengkap dan bekas Perdana Menteri itu adalah suspek utama yang terbabit dalam penipuan, penyelewengan dan penyalahgunaan membabitkan dana awam berjumlah berbilion ringgit.

Katanya, pengasas 1MDB itu juga memainkan peranan utama dan bertanggungjawab atas salah laku berkaitan dengan syarikat pelaburan strategik negara terbabit.

“Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan tanpa tandatangan beliau dan kami mendapati terdapat tandatangannya pada semua perjanjian yang dimeterai oleh 1MDB.

“Justeru, beliaulah yang bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya kepada Reuters, hari ini.

Dr Mahathir membuka semula kes penyiasatan berhubung kes 1MDB dan pembabitan Najib dalam syarikat terbabit.

Hasil daripada penyelidikan anti kleptokrasi, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa, lebih daripada AS$4.5 bilion (RM18.83 bilion) dana 1MDB disalah guna dan kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tidak dibenarkan ke luar negara dan kedua-duanya sudah disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun, Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan 1MDB.

Dr Mahathir berkata, pasukan penyiasat sedang dalam proses mendapatkan maklumat terperinci berhubung beberapa perkara semasa beliau menjadi Perdana Menteri sebelum pertuduhan dikenakan.

“Antara pertuduhan yang boleh dikenakan adalah dakwaan membabitkan aktiviti penyelewengan, mencuri duit kerajaan, kehilangan wang kerajaan dan penggunaan wang kerajaan untuk sogokan.

“Rosmah juga turut disiasat berhubung isu 1MDB kerana ada sejumlah wang yang dipercayai disalurkan kepadanya.

“Kami maklum akan perkara ini namun agak sukar untuk menjejakinya kerana beliau (Rosmah) tidak menandatangani sebarang dokumen kecuali Najib,” katanya.

Beliau berkata, penangkapan pertama berhubung kes 1MDB bakal dibuat dalam tempoh beberapa bulan lagi dan perbicaraan dijangka bermula pada hujung tahun ini.

“Kami bekerja keras dalam tempoh masa yang singkat dan boleh dikatakan kes sememangnya sudah hampir sempurna.

“Yang pasti, kes ini pastinya membabitkan Najib, Jho Low dan beberapa individu lain.

“Apabila kes ini dibawa ke mahkamah, segala kesalahan tentang sebarang salah laku akan dibentang dan kita tidak boleh kalah,” katanya.

Peguam Jho Low tidak dapat dihubungi untuk mengulas berhubung isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 7:14 PM