TENGKU Razaleigh bakal bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti, hujung bulan ini. FOTO fail NSTP.
Siti Nur Mas Erah Amran


MEMBANTERAS politik wang adalah isu utama yang perlu diperangi supaya integriti UMNO dapat dipulihkan, sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat.

Tengku Razaleigh Hamzah yang akan bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini, berkata parti amat menitikberatkan konflik politik wang yang berleluasa kerana ia menyentuh soal moral dan parti tidak akan membiarkan isu itu berlarutan.

“Bagaimanapun, ada segelintir pemimpin peringkat bawah dan bahagian kurang sensitif mengenai isu ini, seolah-olah soal moral ini tidak perlu dirunsingkan.

“Tunku Abdul Rahman amat sensitif dengan soal duit, malah Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika memimpin UMNO) sendiri pernah menangis semasa mengingatkan pimpinan parti supaya jangan bermain politik wang sebelum beliau bersara.

“Beliau menangis kerana permainan politik wang ini sukar dibendung, sekali gus mengancam kedudukan parti,” katanya dalam temu bual di Astro Awani, Kuala Lumpur, malam ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, ahli UMNO berpegang kuat dan bersandar kepada prinsip perjuangan parti, malah usaha berterusan sehingga kini membuahkan hasil yang dapat dirasai rakyat.

Katanya, UMNO perlu kembali berpaksikan prinsip yang diperkenalkan Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman.

“Kita kena kembali kepada perjuangan asal orang Melayu kerana rakyat zaman itu menerima apa yang dilaksanakan kerajaan iaitu mendaulatkan negara dan memperjuangkan tanah air.

“Sama saja seperti sekarang cuma sejak akhir-akhir ini, kita ditekankan untuk melaksanakan hukum Allah seperti yang dilaksanakan di negara Islam yang mempunyai fahaman ekstrim.

“Kita tidak dapat menerimanya, malah tidak bersetuju dengan tindakan ekstrim yang boleh memisahkan umat Islam di negara kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh berkata, tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang melonggokkan jumlah hutang negara yang ditanggung Kerajaan Persekutuan menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan terhadap keutuhan ekonomi negara.

“€œMenuduh kerajaan terdahulu meminjam wang dengan banyak sehingga RM1 trilion dan mengugut untuk membongkar isu lepas yang dikaitkan dengan jumlah hutang menyebabkan pelabur menjual saham mereka kerana tidak percaya dengan negara kita.

“Rakyat yang menanggung kerugian disebabkan harga saham semakin menurun dan keuntungan semakin berkurangan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 11:36 PM