SUHANAWATI  menyediakan tempahan sate Kampung Baung pada program sambutan Aidilfitri.
SUHANAWATI menyediakan tempahan sate Kampung Baung pada program sambutan Aidilfitri.

Kota Bharu: Anugerah diterima di peringkat kebangsaan menyebabkan sate Kampung Baung kian popular hingga mencapai jualan 400,000 cucuk sepanjang Ramadan lalu.

Pengusaha Sri Baung Sate, Suhanawati Abdullah, 34, berkata, dia sebelum ini dinobatkan usahawan terbaik daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) TEKUN dan Persatuan Peladang Wanita Kebangsaan masing-masing bagi 2015, 2016 dan 2017.

Menurutnya, sebagai usahawan wanita, anugerah itu membantunya mengembangkan perniagaan sate yang diwarisi sejak turun- temurun ke peringkat kebangsaan.

“Sepanjang Ramadan lalu, tempahan orang ramai mencurah-curah untuk sambutan Aidilfitri manakala bagi sambutan selepas hari raya, saya masih menerima tempahan dari seluruh negeri malah dari luar Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, tempahan sate Baung itu mula diproses sejak hari pertama Ramadan tanpa henti berikutan permintaan orang ramai.

“Saya adalah generasi ke empat daripada keturunan keluarga arwah datuk dan nenek di Kampung Baung yang terkenal dengan nama Sate Baung sejak awal 1970-an.

“Di kampung ini juga terdapat 31 pengusaha sate dan masing-masing menerima tempahan ribuan sate daging dan ayam bagi memenuhi permintaan Aidilfitri setiap tahun.

“Tempahan di kilang saya saja sudah mencapai lebih 200,000 sejak Ramadan hingga kini.

“Sate yang diproses kemudian disimpan dalam peti sejuk beku,” katanya.

Katanya, kilangnya dibantu 20 pekerja termasuk sanak-saudara terdekat yang mula memotong daging hingga mencucuk lidi pada sate.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berkata, sehingga kini Syarikat Sri Baung memiliki cawangan di Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 5:20 AM