Mohd Sabran Md Sani

LELAKI ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut terkena serpihan mercun, di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ashmon Bajah berkata, lelaki terbabit berusia 35 tahun ditahan pasukan siasatan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di felda terbabit pada jam 1.30 petang tadi.

“Bertindak atas maklumat siasatan dan risikan pasukan tangkapan khas terbabit yang diketuai Pegawai Jabatan Siatan Jenayah (JSJ), Inspektor Davendran, menahan suspek lelaki berusia 35 tahun.

“Lelaki tempatan itu ditahan di kawasan FELDA Papan Timur pada jam 1.30 petang hasil maklumat siasatan dan risikan pasukan tangkapan khas yang dibentuk,” katanya dalam kenyataan, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata berikutan tangkapan itu, kes berjaya diselesaikan.

“Kertas siasatan akan dirujuk segera kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Katanya, pasukan siasatan khas itu ditubuhkannya sejak 18 Jun lalu sejurus kes terbabit dilaporkan, selain beliau sendiri mengetuai pasukan yang dibentuk itu.

Akhbar hari ini melaporkan selepas empat hari berjuang untuk hidup, akhirnya Nuraqira Khaeefa Mohd Saad, 7, menghembuskan nafas terakhir kelmarin tanpa sempat mengenakan baju raya.

Dia koma selepas kepalanya terkena serpihan bekas mercun ketika bersama sepupu membersihkan halaman rumah datuknya di FELDA Papan Timur, Kota Tinggi, Johor malam Aidilfitri lalu,

Nuraqira Khaeefa meninggal dunia jam 7 malam kelmarin selepas koma empat hari apabila kepalanya terkena serpihan bekas mercun yang meletup, terpelanting dan terlekat di kepalanya pada malam Aidilfitri lalu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke HSA pada hari sama.

Berita berkaitan

'Lelaki main mercun sebabkan budak maut ditangkap'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 9:39 PM