BEKAS guru dan murid SK Tehel bergambar kenangan selepas majlis perjumpaan semula di Jasin, semalam. FOTO Zairee Mohd Yasak.
Zairee Mohd Yasak


KESEMPATAN bercuti sempena Aidilfitri dan cuti sekolah digunakan sebaiknya lebih 50 bekas guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel untuk berkumpul semula selepas 42 tahun berpisah dalam satu majlis di Jasin, semalam.

Gelak ketawa memenuhi dewan kecil bagi majlis perjumpaan itu yang turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga masing-masing.

Bagi bekas pelajar sekolah terbabit, Misran Arshad, 54, pertemuan itu bukan sahaja mengimbau kenangan bahkan mengeratkan silaturahim antara mereka, terutama bagi mereka yang membina kehidupan di luar Melaka.

“Saya dapat memperkenalkan anak bongsu saya, Ahmad Firdaus, 12, yang turut belajar di sekolah ini kepada rakan yang hadir, supaya hubungan terjalin berterusan kepada hingga ke anak kami.

“Walaupun kami berlainan kerjaya, majlis seperti ini merapatkan perbezaan memandangkan kami berasal dari kampung sama dan membesar bersama,” katanya.

Misran berkata, lebih membanggakan semua enam anak lelakinya berusia antara 12 hingga 28 tahun mengenal dunia pendidikan formal di sekolah sama.

Katanya, selain mudah memantau pergerakan dan membentuk perilaku anak, dia memilih menempatkan semua anaknya di situ kerana dapat menjimatkan kos.

Sementara itu, bekas guru Bahasa Inggeris, Abdul Wahid Mohamed Said, 77, berkata peluang bertemu semula dengan bekas murid mengimbau kenangan manis dan pahit sepanjang mengajar di sekolah itu.

“Daripada bangunan sekolah kayu hinggalah bertukar ke bangunan batu, kenangan itu memang tidak dapat dibeli. Malah kemesraan semua bekas murid masih sama seperti masa saya mula mengenali mereka.

“Selain memupuk semangat persaudaraan, kami turut dapat mengenali anak serta cucu masing-masing yang turut hadir pada majlis ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:16 AM