Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Anuar Tahir. FOTO NSTP
Nazura Ngah
nazura_ngah@nstp.com.my


BAKI senarai penuh Kabinet dan jawatan Timbalan Menteri dijangka diumumkan hujung minggu ini.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Anuar Tahir berkata, jangkaan itu berdasarkan keyakinan beliau bahawa senarai penuh sudah dimuktamadkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Semua parti dalam Pakatan Harapan (PH) sudah menghantar cadangan nama untuk penelitian Perdana Menteri.

"Saya rasa setakat ini, senarai sudah dimuktamadkan cuma tunggu masa Perdana Menteri nak umumkan. Jika pengumuman sebelum majlis angkat sumpah, ia boleh berlaku hujung minggu ini tetapi itu semua hak prerogatif Perdana Menteri (untuk berbuat demikian)," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, AMANAH bersikap positif bahawa beberapa wakil rakyat parti itu akan diberi tanggungjawab mengisi baki dalam Kabinet selain jawatan timbalan menteri.

Bagaimanapun, beliau tidak boleh menjangkakan jumlah terbabit kerana ia adalah hak Perdana Menteri dalam menentukan calon yang sesuai bagi mengisi barisan Kabinet.

"Oleh kerana empat parti berkongsi kejayaan (menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu), semua parti harus diwakili dalam Kabinet dan AMANAH sudah pun menduduki tiga jawatan menteri.

"Dijangkakan akan ada lagi (menteri daripada AMANAH) selain akan ada jawatan Timbalan Menteri diberikan kepada Ahli Parlimen AMANAH," katanya.

Pada PRU-14, AMANAH yang baru ditubuhkan sejak dua setengah tahun lalu, berjaya memenangi 11 daripada 27 kerusi Parlimen yang ditandinginya selain menawan 34 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengulas lanjut, Anuar berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan PRU-14 apabila semua pimpinan kanan parti itu menang dengan cemerlang.

"Ia satu pencapaian yang jarang berlaku. Berdasarkan pengalaman sendiri ketika menubuhkan Parti Keadilan Nasional, kami tidak pernah memperoleh kejayaan sebesar ini sebagai sebuah parti baharu yang memulakan reformasi.

"Apa yang dicapai AMANAH adalah satu yang membanggakan. Di kawasan saya, sejak PRU-14, ramai yang memohon menjadi ahli dan pada hujung bulan ini, dijangkakan 1,000 ahli baharu akan menyertai parti ini," katanya.

Pada 21 Mei lalu, 13 menteri baharu mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Barisan Kabinet itu terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama tiga menteri kanan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Barisan Kabinet lain adalah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri Tenaga Manusia, Kulasegaran V Murugeson.

Pada 10 Mei lalu, iaitu sehari selepas PRU-14, Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 1:51 PM