ANTARA barang yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA barang yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM


MENYEDARI pihak polis mahu membuat pemeriksaan terhadapnya, lelaki cuba melarikan diri ketika ditahan di Lorong 2, Desa Pahlawan, Batu 4, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

Ketika kejadian kira-kira 5 petang itu, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Wangsa Maju terpaksa bergelut dengan lelaki yang berusia 32 itu sebelum dia berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemui dadah jenis methaphetamine.

"Lapan anggota dari BSJND Wangsa Maju menahan seorang lelaki di tepi jalan, di lokasi, sebelum memperkenalkan diri dan secara tiba-tiba suspek melarikan diri.

"Dalam cubaan polis untuk menahan suspek, berlaku pergelutan apabila lelaki itu bertindak agresif dan akhirnya berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Roy berkata, kemudian pihak polis membuat pemeriksaan di dalam poket seluar berwarna kelabu yang dipakai suspek dan menjumpai satu lipatan sampul surat warna putih.

"Di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan berisi dadah disyaki jenis metamphetamine dengan anggaran berat 51.34 gram.

"Suspek dan dadah yang dianggarkan bernilai RM6,120 berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut. Ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine.

"Pemeriksaan identiti, polis mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah selain turut disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis kerana kesalahan dadah di Selayang, Selangor.

"Turut dirampas satu telefon bimbit, satu dompet dan wang tunai. Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 10:39 AM
Digital NSTP Subscribe