SAKINAH Abdul Razak, 59, (kiri) ibu Che Som Abdullah, 72, dan Che Hashim Salleh, 59, masing-masing menghidapi masalah kesihatan. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah penderitaan yang ditempuhi empat beranak yang menghadapi masalah kesihatan dari Kampung Jakar, Jeli, bagi meneruskan kehidupan mereka seharian.

Sakinah Abdul Razak, 59, bapanya, Abdul Razak Mamat, 78, dan ibu, Che Som Abdullah, 72, masing-masing lumpuh manakala suami Sakinah, Che Hashim Salleh, 59, pula disahkan mengidap penyakit usus sejak Februari lalu.

Berikutan itu, pergerakan mereka berempat kini bergantung dengan bantuan kerusi roda dan pertolongan jiran bagi menguruskan keperluan diri termasuk ke bilik air setiap hari.

Sakinah berkata, akibat mempunyai masalah kesihatan, mereka sekeluarga tidak dapat bergerak bebas dalam rumah sendiri.

“Kami terpaksa bergantungan antara satu sama lain dalam segala urusan. Namun, kami reda dan tabah menempuhi penderitaan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sakinah dan suaminya tidak mempunyai anak bagi membantu meringankan beban keluarga mereka.

Dia berkata, ketika ini hanya bapa dan ibunya saja menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala permohonan dia dan suami belum diluluskan.

“Bantuan seumpama itu amat diperlukan bagi menampung perbelanjaan harian termasuk keperluan ubat-ubatan dan rawatan yang semakin meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 3:37 PM