ASMANI Mat 31, didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh atas tuduhan membunuh anak lelakinya berusia 19 bulan di rumah mereka di Felda Jengka 13, Maran. FOTO Farizul Hafiz Awang
Shahrul Nizam Mohamad
cnews@nstp.com.my


“KEPUTUSAN menghantar isteri saya ke Hospital Permai, Johor Bahru selama satu bulan adalah satu tindakan bijak.

"Saya terima dan menghormati keputusan berkenaan dengan hati terbuka," kata Muhammad Rizal Jusoh, 42, suami kepada Asmani Mat, 31, yang didakwa membunuh anak lelakinya Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal di kediaman mereka di FELDA Jengka 13, Bandar Pusat Jengka, Maran, Ahad lalu.

Terdahulu, Muhammad Rizal bersama sanak saudara dan ahli keluarga hadir di Mahkamah Majistret Temerloh seawal 8 pagi untuk mengikuti prosiding kertas pertuduhan terhadap isteri.

Muhammad Rizal berkata, dia sempat bertemu dengan isterinya sebelum prosiding bermula.

"Ketika bertemu, saya menenangkannya dan meminta bersabar dengan ujian Allah SWT.

"Isteri juga sempat bertanya di mana dua lagi anak iaitu Mohamad Nur Rusyaidi, 7, serta Mohamad Rafiuddin, 5, dan saya menjawab tidak perlu risau kerana dua beradik berkenaan sihat dan sudah mengetahui kejadian sebenar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, sepanjang ketiadaan isterinya, dia sudah bersedia menjadi 'ibu' serta bapa bagi menjaga dua anaknya itu.

Dalam kejadian 8.40 malam itu, mangsa anak bongsu daripada tiga beradik disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah.

Kejadian disedari Muhammad Rizal ketika menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 sebelum terdengar suara Muhammad Nur Rashdan merengek lemah di dalam bilik.

Sebaik memeriksa apa yang berlaku, dia bertindak menolak isterinya dan memangku mangsa untuk dibawa ke Hospital Bandar Jengka (HBJ), namun doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Berita berkaitan:

Budak maut dikelar ibu

Suspek dipercayai mengalami halusinasi

JKM sedia beri kaunseling

'Saya maafkan isteri'

Terkejut tapi reda

'Saya maafkan isteri'

Ibu kelar anak didakwa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 4:19 PM