RAKAMAN CCTV menunjukkan lelaki yang memecah masuk restoran. FOTO ihsan Polis
Hadzlihady Hassan


HANYA bermodalkan pengetip kuku, lelaki menggunakan kepakarannya untuk mengumpil pintu dan memecah masuk restoran di Jalan Icon City, Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 1.30 pagi itu, suspek tidak menyedari perbuatannya bersama seorang lagi rakan dilihat pengurus kedai melalui telefon bimbit yang disambung kepada kamera litar tertutup (CCTV) di permis berkenaan.

Akibatnya, lelaki berusia 36 tahun itu berjaya ditahan pengurus kedai sebelum diserahkan kepada polis, manakala rakannya pula meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan polis menemui pengetip kuku dan wang tunai RM200 yang dicuri suspek dalam mesin juruwang automatik.

Menurutnya, ketika kejadian pemilik permis berkenaan melihat rakaman CCTV melalui telefon bimbitnya dan terkejut apabila mendapati dua lelaki tidak dikenali berada di hadapan kedainya.

“Mangsa melihat seorang daripada suspek mengumpil pintu dan terus menceroboh masuk sebelum mengambil wang dalam mesin.

“Seorang lagi suspek pula dilihat hanya berada di hadapan pintu utama sambil memerhati pergerakan di dalam dan luar permis,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, melihatkan rakaman CCTV itu, pengurus premis berkenaan bersama seorang rakan bergegas pulang ke kedainya dan berjaya menahan seorang daripada suspek terbabit.

“Ketika sampai, pengurus kedai berkenaan melihat suspek sedang mengumpil dan mengambil wang dalam kaunter.

“Pengurus kedai berkenaan dan rakannya berjaya menahan suspek itu dan menghubungi polis,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pemeriksaan mendapati dia memiliki dua rekod kesalahan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 7:25 PM