Johan (tengah) melawat kaunter timbang barang Kompleks TH Sepang, semalam.
BAHAGIAN dalam bangunan Kompleks TH Sepang.
Bangunan Kompleks TH Sepang akan digunakan buat kali pertama bagi mengendalikan operasi haji tahun ini.
Suhaila Shahrul Annuar


Sepang: Penerbangan pertama jemaah haji 1439H/ 2018M dijadual berlepas dari tanah air pada 14 Julai depan manakala penerbangan terakhir pada 14 Ogos.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Johan Abdullah berkata, 30,200 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat menerusi 81 penerbangan sewa khas oleh Malaysia Airlines Berhad dan Flynas.

“Penerbangan balik pertama ke tanah air bermula 29 Ogos sehingga 25 September ini.

“Operasi musim haji kali ini juga membabitkan 600 petugas haji daripada pelbagai bidang termasuk sektor kesihatan.

“Selain itu, walaupun kos keseluruhan mengerjakan ibadat haji meningkat 15 peratus kepada RM22,240 berbanding RM19,550 pada musim haji lalu, namun bayaran haji dikekalkan pada RM9,980,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Operasi Haji Musim 1439H/2018M di Movenpick Hotel and Convention Center di sini, semalam.

Katanya, tahun ini bakal mencatatkan sejarah bagi pengurusan haji Malaysia serta TH apabila Operasi Haji Tanah Air Musim Haji 1439H/2018M bagi jemaah haji di Lembah Klang serta sekitarnya berlepas di Kompleks TH Sepang berbanding sebelum ini dilakukan di Kompleks TH Kelana Jaya.

“Kompleks TH Sepang akan dilancarkan pada 13 Julai depan menjadi satu mercu tanda baru bagi TH apabila ia digunakan buat julung kalinya sebagai kompleks haji baru menggantikan Kompleks TH Kelana Jaya yang beroperasi sejak 1982.

“Ia juga terletak di lokasi strategik berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan jarak perjalanan 10 minit berbanding sejam dari Kelana Jaya sebelum ini.

“Kompleks itu juga mampu memenuhi peningkatan jumlah jemaah haji Malaysia selama 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Ia dilengkapi prasarana lebih selesa dan lengkap untuk kemudahan jemaah haji dan keluarga termasuk hotel, parkir bertingkat, restoran, anjung tinjau selain ruang pelepasan lebih besar yang menampung 900 jemaah haji dalam satu-satu masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 5:24 AM