BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP
Abdul Razak Raaff


SATU persidangan khas akan diadakan pada Ogos ini bagi memperhalusi pelbagai isu dalam melaksanakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, persidangan itu akan disertai wakil KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) dan pihak berkepentingan untuk membincangkan isu teknikal berkaitan.

“Kita cadangkan persidangan khas ini pada 8 Ogos bagi membincang, memperhalusi serta mencari jalan bagaimana untuk melaksanakan caruman kepada suri rumah.

“Memang ada beberapa isu teknikal yang menjadi kekangan untuk melaksanakan hasrat ini seperti Seksyen 51 Akta KWSP dan Akta Kerja 1955.

“Dan kita juga akan mengkaji bagaimana untuk menghadapi peruntukan dalam Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tidak membenarkan caruman daripada ahlinya dipindahkan selain pandangan Kementerian Kewangan kerana pelaksanaannya (caruman KWSP untuk suri rumah) juga akan membabitkan dana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Lawatan Turun Padang Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom di Kuantan, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Suriani Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Fazari Salleh.

Seksyen 51 Akta KWSP menghalang rancangan Kerajaan Persekutuan untuk memulakan skim KWSP dua peratus kepada suri rumah yang dipotong daripada caruman 11 peratus suami bekerja.

Menurut seksyen itu, tiada amaun yang boleh diserahhakkan, dipindahkan, kena ditahan, disekuesterkan, dilevikan ke atasnya, bagi, atau berkenaan dengan apa-apa hutang atau tuntutan apa jua pun, dan Pegawai Pemegang Harta tidaklah berhak kepada atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas apa-apa jumlah wang atau amaun tersebut.


WAN Azizah Wan Ismail beramah mesra serta menyampaikan sumbangan ketika Majlis Lawatan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut melahirkan kebimbangan terhadap masalah mental negara ini yang kurang mendapat perhatian, sedangkan ia masalah serius.

“Masalah ini perlu diketengahkan serta diberi perhatian yang serius. Jangan hanya apabila berlaku sesuatu tragedi sehingga mengorbankan nyawa termasuk kanak-kanak, baru kita nak bertindak.

“Kita perlu atasinya daripada peringkat akar umbi lagi dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan perlu bekerjasama kerana faktor persekitaran juga menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kes seorang ibu yang mengelar leher anak bongsunya berusia 19 bulan di FELDA Jengka 13, Maran minggu lalu dipercayai berpunca daripada masalah kemurungan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Wan Azizah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bilangan kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak dilapor meningkat hampir setiap tahun.

Pada 2015 sahaja, terdapat 4,453 kes dan jumlah itu meningkat sebanyak 529 kes menjadi 4,982 kes, pada 2016, manakala 5,422 kes pada tahun lalu.

“Penganiayaan dan penderaan kanak-kanak perlu dilihat sebagai pelanggaran hak kanak-kanak dan menjadi tanggungjawab semua untuk membendungnya daripada terus berlaku demi kepentingan dan keselamatan mereka setiap masa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 3:34 PM