KEADAAN BMW i8 selepas kemalangan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


AKIBAT mengelak binatang melintas, dua individu berdepan detik cemas selepas BMW i8 dinaiki terbabas di Kilometer 69 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Sungai Lakit, Gua Musang, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 7.30 malam itu, pemandu dan penumpang kenderaan terbabit bernasib baik apabila tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian, kereta dipercayai milik seorang bergelar Datuk Seri itu dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

“Sebaik sampai di lokasi, pemandunya dipercayai hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor binatang melintas lalu terbabas ke dalam longkang.

“Ia menyebabkan kereta itu rosak teruk dengan cermin hadapannya pecah” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian, hujan renyai-renyai dan keadaan permukaan jalan agak licin.

Mohd Taufik berkata, pemandu kereta itu membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang sejurus selepas kemalangan.

Katanya, kereta mewah itu masih berada di IPD untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 11:25 AM