GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman


AKIBAT enggan dihantar ke sekolah tahfiz, seorang remaja sanggup berbohong mendakwa diculik di Taman Chandan Puteri, Kuala Kangsar, semalam.

Remaja lelaki berusia 15 tahun itu mendakwa dia dan seorang rakannya diculik oleh sekumpulan individu sebelum dibawa ke sebuah kawasan hutan dan sebuah rumah.

Kisah remaja berkenaan turut tular di aplikasi WhatsApp.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, bapa mangsa ada membuat laporan polis berhubung kejadian itu, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati remaja itu sebenarnya hanya mereka cerita penculikan itu kerana tidak mahu dihantar ke sebuah sekolah tahfiz di Ipoh.

“Selepas siasatan terperinci, mangsa didapati hanya mereka cerita (kejadian culik) berkenaan.

“Susulan itu, bapa remaja itu menarik balik laporan polis yang dibuat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, bapa mangsa turut memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas segala kesulitan yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 6:37 PM