ANGGOTA bomba menjalankan SAR untuk mengesan pekerja pam yang dikhuatiri lemas dalam Sungai Kelantan dekat jeti Temangan di Machang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menjalankan SAR untuk mengesan pekerja pam yang dikhuatiri lemas dalam Sungai Kelantan dekat jeti Temangan di Machang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Siti Nadzirah Che Mud


PEKERJA pam pasir dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dekat jeti Temangan di Machang, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Sulaili Hassan, 42, masih gagal ditemui sehingga 7 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 5.39 petang.

Katanya, susulan itu, sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebaik tiba, pihak bomba dimaklumkan bahawa seorang pekerja pam pasir terjatuh ke dalam sungai berhampiran

jeti Temangan.

“Mangsa sebelum itu dikatakan sedang membaiki pam pasir sebelum terjatuh ke dalam sungai dan hilang, dikhuatiri lemas pada 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Katanya, pihaknya melakukan pencarian di permukaan dan selaman untuk mencari mangsa.

“Bagaimanapum, mangsa gagal ditemui dan operasi SAR akan disambung pagi esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Jun 2018 @ 11:10 PM