PEMERIKSAAN kesihatan kucing disediakan pada program Aidilfitri Bersama Si Comei.
AKSI si bulus mengayakan baju raya.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kucing segak berbaju Melayu dan kurung. Itu telatah dapat dilihat pada beberapa ekor kucing yang dipakaikan baju raya bagi menarik pengunjung ke program Kemeriahan Aidilfitri Bersama Si Comei di sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju di sini, semalam.

Program anjuran Kelab Kucing Malaysia (KKM) dengan kerjasama Facebook Dunia Kucing menerima kehadiran lebih 10,000 pengunjung selama dua hari penganjurannya yang turut diadakan pelbagai aktiviti menarik.

Presiden KKM Khalid Rashid berkata, sebanyak 60 kucing, 100 arnab, 10 burung dan 50 sugarglider ditempatkan di ruang pameran untuk dijual, malah pihaknya turut memberikan secara percuma kucing jalanan untuk diberikan rumah kedua.

“Program ini bagi
meraikan pemilik kucing dan menyedarkan orang ramai mengenai kucing jalanan juga berhak mendapat perhatian, bukan dibuang sesuka hati.

“Untuk pengetahuan semua, musim Aidilfitri ini, ramai orang membuang kucing mereka kerana tidak mahu meletakkan si bulus ke ‘hotel’ kerana mahal. Mereka bertindak membuang kucing supaya memudahkan mereka pulang ke kampung,” katanya.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan kucing berkenaan merayau dan mati dilanggar kenderaan serta kelaparan.

“Ini antara penyebab kita mengadakan program ini. Selain masyarakat dekat dengan kucing dan haiwan lain, mereka boleh mendapat nasihat daripada kami untuk menempatkan kucing mereka dan cara penjagaan yang betul.

“Selain itu,
kita turut menyediakan doktor untuk melakukan vaksin dan pemeriksaan kepada si bulus dengan harga murah iaitu serendah bawah RM30. Jika di luar, kos vaksin mencecah RM60 hingga RM80,” katanya.

Sementara itu, pekerja bank Mohd Badrizam Omar, 40, berkata, dia menghabiskan lebih RM30,000 demi mendapatkan lima kucing dari luar negara yang dibeli menerusi ejen.

“Saya membeli seekor kucing baka Maine Coon dari Ukraine dengan kos RM5,000 dan ketika ini, saya mempunyai 12 kucing pelbagai baka.

“Seronok sebenarnya dapat bermain dengan kucing dan daripada hobi, ia turut menjadi pendapatan sampingan dengan menjual anak kucing terbabit,” katanya.

Menurutnya, dia turut memasuki pertandingan dan kucingnya, Qantas yang juga baka Maine Coon beberapa kali muncul juara.

“Mungkin kerana rupa dan saiznya besar menarik perhatian semua pihak yang memandangnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 10:28 AM