TERTUDUH Yau Chang Hong, 31 mengaku salah atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM500 kepada Pembantu Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Fahmi Mohd Yusof


PEMILIK kilang kayu dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM500 kepada penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Januari lalu.

Tertuduh, Yau Chang Hong, 31, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Chang Hong didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada Pembantu Penguatkuasa, Nik Ekbar Effendi Nik Sazali, 31, yang bertugas di MPK pada 17 Januari lalu.

Suapan diberi tertuduh sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan kompaun dan mengambil tindakan ke atas perniagaan kilang papan di Jalan 10, Kampung Gajah, Kluang.

Tertuduh dikenakan kompaun oleh MPK kerana melakukan kesalahan menjalankan perniagaan (kilang kayu) tanpa lesen dan menjadikan rumah selain maksud asal iaitu kilang memproses kayu dan papan.

Chang Hong didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah turut memerintahkan wang RM500 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 11:12 AM