PEMANGKU Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin (tengah) menunjukkan sebahagian musang yang ditemui dan dirampas di kawasan jeti di Tok Bali, Pasir Puteh yang dipercayai untuk dibawa ke Vietnam sebagai makanan eksotik. FOTO Ihsan PPM
Siti Rohana Idris


PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 60 ekor musang yang dijumpai di kawasan jeti di Tok Bali, Pasir Puteh, Tumpat, semalam.

Rampasan dibuat kira-kira 6 petang oleh sepasukan anggota PPM yang membuat tugasan dalam Op Gelora sekitar perairan Tok Bali.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin berkata, musang terbabit dikurung dalam sangkar dan disembunyikan di luar kawasan pagar jeti.

"Kesemua musang terbabit dipercayai untuk diseludup ke Vietnam melalui jalan air.

"Kita juga percaya bahawa haiwan itu untuk dijual kepada pembeli di sana yang menjadikannya sebagai makanan eksotik," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Reduan berkata, anggotanya menunggu kira-kira 30 minit di kawasan jeti berkenaan, namun tiada individu yang tampil menuntut haiwan terbabit.

Kesemua musang yang dianggarkan bernilai RM12,000 itu dirampas dan dibawa balik ke markas kecil PPM Tok Bali untuk dibuat laporan polis.

Haiwan itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan kes disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 12:51 PM