GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


KOPERAL polis ditahan selepas didapati memukul seorang lelaki menggunakan pistol dan melepaskan lima das tembakan di sebuah premis karaoke di dalam pusat beli-belah di Kepong, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, berlaku pergaduhan antara mangsa berusia 38 tahun dengan suspek, 36, sebelum anggota polis berkenaan menyerang lelaki terbabit.

Sumber berkata, mangsa bersama enam rakannya yang lain pergi ke pusat hiburan berkenaan sebelum bertembung dengan suspek.

“Berlaku pertengkaran antara suspek dengan mangsa sebelum anggota polis berkenaan bertindak memukul mangsa menggunakan pistol di bahagian kepala.

“Suspek kemudian melepaskan lima das tembakan ke arah dinding premis berkenaan sebelum beredar,” katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Desa Jaya, Gombak, ditahan di balai berkenaan, semalam, sebaik pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Difahamkan ketika kejadian, suspek dikatakan mabuk sebelum pertengkaran berlaku antaranya dengan mangsa. Punca pertengkaran mereka masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Suspek kini masih dalam tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada polis Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

“Kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah dibuka dan disiasat oleh polis Kuala Lumpur.

“Di pihak kami, tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap anggota terbabit atas kesalahan dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 7:08 PM