PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang baharu, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin memulakan tugas secara rasmi di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau yang dilantik Panglima ATM ke-20 menggantikan Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dalam Majlis Serah Terima Tugas pada 20 Jun lalu.

Terdahulu, Zulkifli tiba di wisma berkenaan jam 9 pagi sebelum disambut Kawalan Kehormatan Utama yang memberikan tabik hormat di Padang Kawad, Dataran Wisma Pertahanan.

Beliau kemudiannya membuat pemeriksaan barisan sebelum masuk ke bangunan Wisma Pertahanan dan mengetip kad kehadiran jam 9.10 pagi.

Zulkifli kemudiannya masuk ke pejabatnya dan melakukan simbolik memulakan tugas.

Zulkifli, 59, pernah memegang jawatan Panglima Tentera Darat pada 2011 sebelum dilantik Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 2013.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi bin Abd Manaf, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 10:47 AM
ZULKIFLI memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion pertama Rejimen Askar Melayu Diraja pada hari pertama memulakan tugas. FOTO Zulfadhli Zulkifli