PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 20 kotak rokok seludup jenis John White dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam Ops Landai di Jalan Ulu Pulai. Foto NSTP/IHSAN POLIS MARIN
Mohd Sabran Md Sani


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 20 kotak rokok seludup jenis John White bernilai kira-kira RM100,800 yang disembunyikan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), pada serbuan Ops Landai di Jalan Ulu Pulai, dekat Johor Bahru.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, rampasan itu dilakukan lima anggota termasuk seorang pegawai pada jam 11.30 malam kelmarin berdasarkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan rokok.

"Bertindak atas maklumat penyeludupan rokok, enam anggota PPM Wilayah Dua mengekori sebuah kenderaan dari arah Pekan Nanas ke Gelang Patah.

"Dalam Ops Landai itu, anggota operasi menggunakan kenderaan persendirian dan mengekori kenderaan suspek selama 15 minit sebelum dapat memintas kenderaan disyaki," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kenderaan itu bagaimanapun dipecut laju sebelum diberhentikan pemiliknya berdekatan ladang sawit di Ulu Pulai.

“Seorang lelaki yang juga pemandu kereta melarikan diri ke kawasan kebun sawit dengan keadaan enjin kenderaan itu masih hidup. Anggota menjejaki lelaki terbabit tetapi mengesannya,” katanya

Menurutnya, anggotanya kemudian merampas kunci dan membuat pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu

“Siasatan lanjut ke dalam kenderaan itu menemui beberapa kotak coklat disyaki mengandungi rokok tidak sah berjenama John White.

“Semua rampasan membabit 20 kotak besar rokok terbabit dengan anggaran nilai RM100,800 dan MPV Toyota Estima bernilai RM80,000 dibawa ke markas PPM Wilayah Dua untuk proses dokumentasi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 dan barang kes diserahkan kepada pegawai penyiasat PPM Wilayah Dua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:58 PM