ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim menunjukkan seekor beruk jantan yang ditemui mati tergantung pada sebatang pokok di Taman Haruan. Foto NSTP/IHSAN APM.
Azahar Hashim


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim menurunkan bangkai seekor beruk jantan yang tergantung di pokok di belakang sebuah rumah di Taman Haruan, Kulim, semalam.

Dalam kejadian 1.44 tengah hari itu, anggota APM mengambil masa 15 minit untuk membawa turun bangkai beruk itu dari pokok setinggi enam meter berkenaan.

Beruk itu dipercayai mati selepas lehernya terjerut dengan rantai besi dipakai.

Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan dari orang awam yang memaklumkan penemuan beruk itu.

Katanya, susulan itu, tiga anggota APM bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota kami dimaklumkan seorang wanita berusia 28 tahun mengenai kedudukan beruk terbabit di atas sebatang pokok.

"Berdasarkan maklumat wanita terbabit, mereka terdengar bunyi bising yang berlaku pada malam kelmarin yang datang dari sebatang pokok terletak di belakang rumahnya.

"Namun disebabkan suasana gelap, mereka tidak berani untuk melihat serta meninjau punca bunyi bising dan hanya menyedari kejadian itu pagi semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fadhil Fahmi berkata, pihaknya percaya beruk terbabit mempunyai tuannya berdasarkan rantai pada haiwan itu.

Beliau berkata, kemungkinan besar, haiwan itu terlepas dari rumah pemiliknya.

“Binatang itu mungkin tersesat ke kawasan perumahan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menanam bangkai beruk itu di kawasan hutan yang jauh dari rumah penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 11:10 AM