Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


PENUNGGANG dan pembonceng motosikal bernasib baik selepas terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jambatan Teluk Wanjah menuju ke persimpangan lampu isyarat Tambang Badak, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 11.48 pagi itu, penunggang motosikal, Mutahir Azlan Mansor, 43, bersama rakannya berada di lorong kanan sebelum tiba-tiba tayar motosikalnya pancit.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa cuba mengawal motosikalnya daripada terjatuh sebelum pemandu kereta Perodua Myvi, Phuah Chooi Ching, 58, yang menyedari kejadian itu memperlahankan pemanduannya dan membrek kecemasan bagi mengelak merempuh motosikal itu.

Bagaimanapun, katanya, lori yang berada di lorong sama tidak sempat mengelak dan terus melanggar tepi kereta itu menyebabkan kereta terpesong ke sebelah kiri sebelum lori itu melanggar pula motosikal.

“Malah kereta yang terbabas itu masuk semula ke lorong kanan menyebabkan ia dilanggar kali kedua oleh lori itu.

“Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit hanya sakit pada kaki kiri, pemandu lori tidak cedera sementara penunggang motosikal luka di tangan dan kaki,” katanya.

Mohd Rozi berkata, identiti pembonceng motosikal masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut dijalankan untuk mengetahui punca kejadian sebenar.

Beliau berkata, penunggang motosikal terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video berdurasi 0.59 saat yang menunjukkan kemalangan itu berlaku tular di media sosial hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 8:56 PM
KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal, kereta Perodua Myvi dan lori di Jambatan Teluk Wanjah menuju ke persimpangan lampu isyarat Tambang Badak, Alor Setar, hari ini, yang berpunca akibat tayar motosikal pancit. FOTO ihsan pembaca.