SYED  Abu Hussin  umum keluar Barisan Nasional serta UMNO dan akan menjadi wakil rakyat bebas pada sidang media khas di Bilik Gerakan dan Logistik BN Parlimen Bukit Gantang.
SYED Abu Hussin umum keluar Barisan Nasional serta UMNO dan akan menjadi wakil rakyat bebas pada sidang media khas di Bilik Gerakan dan Logistik BN Parlimen Bukit Gantang.
Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal semalam umum keluar Barisan Nasional (BN) serta UMNO dan akan menjadi wakil rakyat bebas berkuat kuasa Ahad ini.

Pada sidang media di Bilik Gerakan dan Logistik BN Parlimen Bukit Gantang hari ini, Syed Abu Hussin turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang.

Syed Abu Hussin berkata, keputusan paling menyedihkan itu terpaksa dibuat kerana ingin memberikan peluang kepada mereka yang lebih mampu memimpin UMNO Bukit Gantang.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kecewa apabila saf kepemimpinan UMNO sebelum ini yang berjaya membawa BN menang di Parlimen Bukit Gantang dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu diketepikan pada pemilihan sayap bahagian, Sabtu lalu.

“Walaupun PRU14 lalu, saya berjaya menggerakkan dan memimpin jentera BN mengharungi tsunami sehingga berjaya menang 4-0 serta mengatasi badi 10 tahun kekalahan, namun harapan saya untuk saf kepimpinan sama dikekalkan, tidak menjadi kenyataan.

“Apa diharapkan hancur apabila pertandingan sayap Pemuda UMNO melihat kehancuran, 15 cawangan hancur, dua wakil rakyat (ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan ADUN Trong, Jamilah Zakaria) tidak dapat tempat dalam saf sayap UMNO.

“Ini memberikan tamparan dan apa isyarat sebenarnya yang ingin disampaikan di bawah sana sehinggakan dua ADUN tidak diberi tempat,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU14, BN berjaya memenangi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering berbanding pada PRU13, hanya memenangi DUN Trong.

Syed Abu Hussin berkata, pada pemilihan Pemuda UMNO Bahagian Sabtu lalu, Ahmad Saidi bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang dan tewas kepada pencabarnya manakala Jamilah tidak bertanding kerana merasakan dirinya tiada tempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:25 AM