ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memeriksa bot nelayan asing yang menangkap ikan di luar kawasan ditetapkan berhampiran Pantai Yan. Foto NSTP /IHSAN APM
Suzalina Halid


HASRAT lima nelayan asing menangkap ikan di luar kawasan ditetapkan pada awal pagi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa terbongkar apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Pantai Yan dekat Alor Setar, pagi tadi.

Dalam tangkapan pada jam 1.22 pagi itu, bot nelayan kelas C terbabit didapati melanggar syarat lesen kerana menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai.

Pemangku Ketua Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairilizhar Noraazmi berkata, tangkapan dibuat pada jarak 7.5 batu nautika dari Pantai Yan.

Beliau berkata, nelayan itu ditahan bersama

1,800 kilogram (kg) ikan baja bernilai RM900.

Katanya, ketika kejadian, empat nelayan warga Kemboja dan seorang tekong warga Thailand berusia 25 hingga 50 tahun berada di atas bot.

“Siasatan mendapati semua nelayan itu memiliki permit kerja namun melanggar syarat lesen bot.

“Mereka bersama hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan kelas A berikutan turut melanggar syarat lesen pada jam 1.10 pagi semalam.

Katanya, bot itu ditahan bersama tiga nelayan warga tempatan berusia antara 21 hingga 51 tahun.

“Pemeriksaan mendapati bot kelas A itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu tidak mengusahakan sendiri ‘vessel’.

“Mereka turut didakwa melakukan penangkapan ikan (siput) di luar waktu dibenarkan iaitu dari jam 6 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 3:42 PM