AMAR Singh menegaskan senarai penuh barangan serta wang tunai dirampas dari beberapa premis sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah diberikan kepada penghuni tempat terbabit. FOTO fail NSTP.
Mohd Azam Shah Yaacob


“SEMUA senarai barang dirampas sudah kita berikan kepada orang yang ada di rumah diserbu. Jadi, apa lagi dia (Najib) mahu?” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika ditanya mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa tidak memperoleh senarai barang diambil polis ketika serbuan dijalankan.

Amar Singh berkata, senarai penuh barangan serta wang tunai dirampas dari beberapa premis sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah diberikan kepada penghuni semua tempat terbabit yang diserbu polis.

Katanya, ada antara senarai itu turut diberikan kepada pekerja premis yang diserbu PDRM bagi mencari bukti siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Semua senarai kita sudah berikan kepada tuan rumah. Jika ada pekerja, senarai itu kita serahkan kepada pekerja berkenaan.

“Ini membabitkan semua premis yang kita geledah bagi mencari bukti siasatan terhadap 1MDB,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, dalam sidang media diadakan di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ di Kuala Lumpur, polis mengumumkan nilai pasaran pelbagai barangan yang dirampas di premis dikaitkan dengan Najib mencecah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Dalam sidang media itu, Amar Singh mendedahkan bahawa PDRM menemui sebanyak 12,000 unit barang kemas terdiri daripada rantai, subang, cincin, gelang, subang dan tiara dengan nilai pasaran mencecah sehingga RM880 juta.

Barang kemas paling mahal adalah seutas rantai emas bertatah berlian putih bernilai RM6.4 juta.

Turut diumumkan adalah nilai 272 beg tangan jenama Hermes yang bernilai RM51.3 juta apabila ada antara beg tangan berkenaan bernilai RM1.6 juta sebuah.

Manakala, sebanyak 423 utas jam tangan pelbagai jenama dirampas pula bernilai RM78 juta dengan jam tangan paling mahal adalah Rolex Paul Newman Daytona berharga RM3.5 juta, Chopard (RM2.5 juta) dan Richard Mille (RM1.6 juta).

PDRM turut mengumumkan nilai sebenar wang tunai disimpan dalam 35 beg bagasi yang dirampas adalah RM116.7 juta.

Bagaimanapun, Najib dalam kenyataan hari ini mempertikaikan nilai serta jumlah barangan diumumkan PDRM berikutan disifatkan sebagai tidak realistik selain harga sebenar bersifat subjektif.

Berita berkaitan:

Nilai rampasan cecah RM 1.1 bilion

[UPDATE] Esok baru tahu jumlah sebenar

'Tiga hari kira RM114 juta [METROTV]

'[UPDATE] 72 beg wang tunai, barang kemas dirampas [METROTV]'

'[UPDATE] Lima trak polis punggah bukti [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 9:26 PM