ORANG ramai berkumpul di lokasi kemalangan mengorbankan murid tahun enam di Jalan Pantai Kamloon berhampiran Institut Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas, hari ini. Gambar kecil, motosikal ditunggang mangsa. FOTO ihsan polis.
Nur Izzati Mohamad


MURID Tahun Enam terkorban selepas motosikal ditunggang bersama dua rakannya terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai Kamloon berhampiran Institut Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas, petang hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa Muhamad Hafiz Abdullah, 12, maut di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah selepas terpelanting dan kepalanya terkena tiang pagar di tepi jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku apabila rakan mangsa berusia 13 tahun yang menunggang motosikal tiba-tiba gagal mengawal kenderaannya.

Akibatnya, mangsa yang ketika itu membonceng bersama seorang lagi rakan berusia 12 tahun terjatuh di tepi jalan berdekatan sawah padi bersama motosikal.

“Bagaimanapun, Muhammad Hafiz yang membonceng terpelanting dan kepalanya terkena tiang pagar hingga menyebabkan kecederaan parah lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika itu, mereka menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan di Kepala Batas, hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 10:26 PM