Skip this ad x
Siraj Mohd Zaini


PELBAGAI alat ganti tiruan menggunakan jenama Kia dan Hyundai berjumlah RM24,060 dirampas dalam operasi di sekitar Lembah Klang sejak semalam hingga hari ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Azman Adam berkata, operasi yang disertai wakil cap dagangan kedua-dua jenama dari Korea Selatan itu bermula jam 10 pagi semalam.

Menurutnya, pihaknya merampas sejumlah 123 barangan tiruan jenama berkenaan seperti tali sawat, gelung pencucuh, penapis minyak, penapis udara dan penapis bahan api.

“Serbuan dilakukan ke atas premis menjual alat ganti di enam lokasi termasuk Gombak, Shah Alam dan Puchong selepas KPDNKK menerima aduan awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati hanya dua premis sahaja yang menjual barangan menggunakan cap dagangan palsu,” katanya dalam sidang media di pejabat KPDNKK Selangor di Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Perlindungan Harta Intelek Hyundai Mobis Co Ltd Jaeho Lee.

Azman berkata, alat ganti tiruan itu dipercayai dijual pada harga yang hampir sama dengan barangan tulen.

“Terdapat sebuah premis alat ganti yang sudah beroperasi lebih lima tahun di mana selain barangan tiruan, mereka ada juga ada menjual alat ganti yang tulen.

“Alat ganti yang dijual juga tidak diletakkan tanda harga bagi mengaburi orang ramai,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan premis yang menjual barangan tiruan sekali gus berharap orang ramai berhati-hati dengan hanya membeli alat ganti daripada wakil pengedar yang sah sahaja.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 10:43 PM
AZMAN (tengah) bersama Jaeho (dua kiri) menunjukkan alat ganti tiruan kenderaan jenama Kia dan Hyundai di Ibu Pejabat KPDNKK Selangor, Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar