Sarah Zulkifli


PELAKON dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi enam pertuduhan jenayah terpaksa menangguhkan pembedahan lutut yang sepatutnya dilakukan pada bulan lalu.

Farid, 37, berkata, keputusan diambil olehnya dengan mengambil kira faktor proses pemulihan selepas pembedahan yang mengambil masa selama enam bulan.

“Tempoh itu sekali gus akan menjejaskan karier seni dan jadual saya selain mengambil kira kes mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya.

Farid ditemui selepas hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, bagi sebutan semula kes jenayah yang dihadapinya.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan kes itu pada 27 Ogos depan.

Sementara itu, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kesemua kes dihadapi anak guamnya itu.

Turut hadir pada prosiding hari ini, isteri Farid, Datin Diana Dianelle.

Mengulas lanjut mengenai penangguhan pembedahan lututnya, Farid berkata, buat masa ini dia menjalani rawatan fisioterapi bagi mengurangkan risiko kecederaannya sebelum mendapat tarikh baharu pembedahan.

“Saya tetap akan menjalani pembedahan kerana jika kecederaan itu dibiarkan ia akan bertambah teruk.

“Buat sementara ini, tawaran filem genre aksi saya tolak terlebih dulu untuk kurangkan risiko kecederaan,” katanya.


FARID ketika hadir Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Owee Ah Chun

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, jam 1.20 tengah hari, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, dia turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 petang, tarikh sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pelakon filem J Revolusi itu didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 3:30 PM