MOHD Aidi Hakim ditemui selamat oleh anggota bomba di kawasan hutan dekat Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hari ini. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENCARI petai yang dilaporkan hilang di kawasan hutan dekat Kampung Limau Kasturi, Gua Musang sejak pagi semalam ditemui selamat, hari ini.

Mohd Aidil Hakim Mohd Yusoff, 34, dari Kampung Limau ditemui tidak bermaya bersandar di pokok petai kira-kira 10 kilometer dari jalan masuk ke hutan oleh sepasukan anggota bomba pada jam 3.30 petang.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Anuar Abas berkata, lelaki itu dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar mencari petai sejak jam 5 pagi semalam.

“Kebiasaannya mangsa keluar mencari petai seorang diri di kawasan hutan, dan akan pulang ke rumah pada hari yang sama walaupun lewat petang.

“Namun, keluarganya yang mengesyaki sesuatu selepas lelaki itu tidak pulang ke rumah hampir 24 jam, memaklumkan kepada bomba pada jam 12.36 tengah hari ini untuk mengesan mangsa,” katanya.

Menurutnya, operasi yang diketuai Ketua Operasi Mohd Zawawi Yusoff bersama 10 anggota menjejaki laluan masuk mangsa ke hutan berkenaan berdasarkan kesan tapak kaki.

“Selepas tiga jam operasi dijalankan, mangsa ditemui tersandar di sebatang pokok petai.

“Dia tidak boleh bercakap kerana terlalu letih berikutan tidak ada bekalan makanan dibawanya dan kita terpaksa memberi bantuan pernafasan sebelum dipapah keluar dan dihantar ke HGM untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 7:22 PM