SOON diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my

Melaka: Seorang peniaga alat ganti kenderaan yang bertindak seperti samseng apabila mengugut dan menghalang tugas anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Ahad lalu, menerima padah apabila dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Majistret Mohd Firdaus Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Soon Wei Meng, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap anggota RELA berusia 33 tahun yang sedang bertugas dengan menggunakan sebatang kayu rotan di tepi Jalan Tokong, Jonker Walk, pada 6.45 petang, 24 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menghalang anggota RELA sama daripada menjalankan tugas di tempat, masa dan tarikh sama, sekali gus didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan baru bercerai dan perlu menanggung ibu bapa serta dua anak berusia 11 dan 15 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kes itu menjadi perhatian umum selepas video berdurasi 4.23 saat yang merakam perbuatannya tular di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 5:37 AM