Kuala Terengganu: Tiada peraturan baru dikenakan Arab Saudi ke atas 30,200 jemaah haji Malaysia setakat ini, kata Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Adi Azuan Abdul Ghani.

Beliau berkata, antara yang terbaru dikenakan Arab Saudi tahun ini adalah pelaksanaan cukai tambah nilai (VAT) lima peratus namun kos itu diserap TH bagi mengekalkan kos haji kali pertama sebanyak RM9,980.

Katanya, penyerapan itu juga menyebabkan TH menanggung subsidi yang dijangka mencecah hampir RM400 juta.

“Setakat ini tiada peraturan baru lain cuma tambahan cukai itu yang diperkenalkan Januari lalu.

“Bagaimanapun, semua kos tambahan itu ditanggung TH dan jemaah tidak perlu membayar apa-apa caj tambahan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Musim 1439H/2018M peringkat Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, malam kelmarin.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seramai 2,739 bakal jemaah haji negeri itu mengikuti kursus dua hari itu.


SEBAHAGIAN daripada 2,739 bakal jemaah haji menjalani latihan praktikal tawaf pada Kursus Perdana Haji 1439H/2018M anjuran Tabung Haji di Taman Tamadun Islam.

Mengulas lanjut, Adi Azuan berkata, penerbangan pertama haji musim ini dijadualkan pada 14 Julai membabitkan 483 jemaah, manakala penerbangan terakhir pada 15 Ogos.

“Tahun ini tiada penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Jeddah sebagaimana tahun lalu dan semua jemaah negeri akan transit di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Ada 11 penerbangan transit.

“Buat julung kalinya juga Kompleks Tabung Haji Sepang bakal digunakan untuk operasi haji tanah air, menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya yang sudah 36 tahun beroperasi sejak 1982,” katanya.

Beliau turut menasihati jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan masing-masing dan membawa semua keperluan terutama ubat-ubatan.

Dalam pada itu, peningkatan jumlah jemaah yang meningkat berbanding tahun lalu membolehkan TH menghantar 101 kakitangannya yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang menunaikan haji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 7:20 AM